Sunday 23 September 2012

Antara usaha dan darjat

Hai apa kau duduk tercegat,
Menunggu Tuhan mengangkat darjat,
Angan-angan tinggi tak ingat,
Namun usaha sebesar pijat,

Berlalu siang, perginya malam,
Berjalan usia, zaman lama ditinggalkan,
Hidup tidak menjadi seseorang,
Sekadar hanya duduk di pinggiran.

Menanti dan menunggu dengan kesabaran,
Diteruskan keringat, tindakan dan susulan, 
Beringat, Tuhan akan permudahkan,
Selagi tidak berputus doa dan harapan.

Oh Tuhan, di mana aku berdiri, dengan 1 impian,
Aku hanya mampu melemparkan perancangan,
Menaburkan usaha, mendidihkan perjuangan,
Namun Kau maha kaya jua yang menentukan.




Saturday 22 September 2012

Ulasan Buku- "Nota Hati Buat Pelajar"

Dua, tiga hari lepas aku pergi kedai buku.

Ingat nak beli satu buku yang aku minat dan dah aim lama dah. Tapi sedang aku duk belek-belek, usha-usha, ngurat-ngurat buku kat kedai tu, hati aku tiba-tiba tersangkut untuk beli buku ni pulak.

Nah, ambil kau! Cuba dapatkan buku ini. Kemudian baca, layan, dan telaah. Bagi aku buku ini berbeza dengan buku-buku motivasi belajar yang lain di pasaran sebab:

1. Pengalaman- Penulis menulis berdasarkan pengalaman hidupnya. Bermula sebagai pelajar sekolah, kemudian mahasiswa, dan yang terkini sebagai seorang guru sekolah.

2. Keikhlasan- Keikhlasan penulis untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan cerita. Setiap ayat demi ayat yang ditulisnya dapat dirasakan keikhlasannya oleh para pembaca buku ini.

3. Kasih sayang- Ini bukan buku jiwang. Maksud aku penulis membawa pembaca buku ini seperti ada hubungan adik dengan abang, ayah dengan anak dan datuk dengan cucunya. Setiap nasihat yang diberi untuk kebaikan pembaca sendiri untuk menjadi pelajar yang lebih baik dan seterusnya membina kehidupan yang mementingkan ilmu.








Jom Layan!


Friday 14 September 2012

Ops, Opocot kau!

Melatah.


Situasi 1.

Sumber: Rancangan Majalah 3, Tv3, Dokumentari Harimau Malaya: Ngauman Sang Belang

Irfan Fazail


Ketika ditanya perasaan berhadapan dengan provokasi dari pengadil, penyokong, dan para pemain
pasukan bola sepak Indonesia ketika di final Sukan Sea 2011, pemain tengah pasukan negara
ketika itu, saudara Irfan Fazail, telah memberikan jawapan seperti berikut:

"Kita jangan cepat 'melatah', apabila kita terkena terjahan keras"~ Irfan Fazail


Situasi 2.

Sumber: Rancangan  Tv9, S.O.S- Mati atau Terus Hidup

Aidid Marcelo


Pengacara rancangan itu, saudara Aidid Marcelo ketika diminta mengulas mengenai aksi terjunan
kereta ke dalam air tasik yang dilakukannya sendiri, , menyatakan pengalamannya ketika
berhadapan di dalam situasi tersebut, bahawasanya:

"Musuh utama manusia didalam keadaan yang tidak pasti adalah rasa cemas dan panik"
~ Aidid Marcelo


Dua situasi di atas sudah cukup bagi aku untuk mengatakan jangan cepat melatah, panik
dan cemas di dalam keadaan yang kita sendiri tidak pasti dan situasi yang tidak dijangka.
Apa yang perlu adalah bersikap tenang dan cuba berfikir dengan pantas untuk
mengawal keadaan, dan teruskan usaha dengan apa yang ada.

p/s: Jangan cepat 'melatah', kerana kehidupan akan menjadi lebih baik jika mengamalkan bersabar.

Wednesday 5 September 2012

Itik Gembo-Gembo

Pada suatu petang, aku kelaparan.

Singgah makan nasi sebentar di sebuah gerai makan, lauk pun dah tak banyak.

"Makan bang?" sapa tuan gerai itu.

"A'ah", balas aku.

Tak sampai 2 minit, sepinggan nasi putih sudah siap diceduk untuk aku.

Nak makan sup tak ada, semua kuah dah kering, kecuali kuah-kuah kari di dalam 3 buah periuk.

"Ok la, makan style gerai mamak (walaupun itu bukan gerai mamak), kari campur dan ayam seketul", bisik hati aku.

Aku tertarik dengan seketul ayam kari yang tertimbus di limpahan kuah kari yang pekat kemerah-merahan itu. Gila pekat.

Aku ceduk, masuk pinggan, tabur kuah atas nasi. Banjir.

Terus aku cari meja baik, duduk, dan makan.

Aku cuil sikit-sikit ayam, masuk mulut. Tapi rasa pelik. Aduh.

Kejap.

Ni bukan ayam ni.

Abis apa?

Kambing kot

Tapi kenapa tak bau? Memang hebat r abang ni masak kambing tak berbau.

Lembu kot.

Kalau lembu, kenapa daging dia lembut sangat?

Rusa kot.

Haaaaihhhh. Entahlah.

Kancil kot. 

Lantaklah, sedap je aku makan.

Tak lama, abang tu datang kira apa yang aku makan sambil bawa buku tulis dan pen dia.

"ITIK, satu", sebut abang gerai tu sambil mencatat harga di bukunya.

"Owh itik, saya ingat ayam", aku membalas.

Abang gerai hanya melemparkan senyumannya.

Selesai makan. Aku bayar, dan harga itik sekelar itu adalah RM4.30, nasi putih RM1.00, dan air teh o suam RM0.80. Jumlah aku makan RM6.10. (Lari bajet juga. Plan nak ambil ayam, mungkin dapat murah sikit.)

Akhirnya, selepas 2 dekad lebih aku hidup, aku berjaya memakan itik dengan secara tidak sengajanya petang itu. Aku tetap bersyukur, perut dah kenyang, senang hati, bertenaga, dan boleh terus bekerja mencari rezeki.

Sekian. Salam.

P/S: Lepas ni mungkin kena tanya dulu tuan gerai makan sebelum ceduk lauk.


A TO Z - ITIK GEMBO GEMBO (JL97)









Tuesday 4 September 2012

Pasangan Secocok Yang Harus 'Dikepit'

Selalunya bila nak keluar rumah, ada 4 benda penting untuk dibawa dan mesti ada bersama.

1. Dompet.

2. Telefon Bimbit.

3. Kunci (Rumah, Kereta, atau Motorsikal)

4. Jam Tangan. (bagi yang ada) ataupun Cermin Mata (Bagi yang rabun)

Namun begitu, beberapa hari ni, aku dapat "sesuatu" yang agak penting sebenarnya.

Bagi diri aku lah, tak tahu bagi diri orang lain macam mana.

Mmmm...."sesuatu" itu adalah pasangan secocok yang penting untuk dibawa dan 'dikepit' ke mana-mana.

Dan pasangan itu adalah...........

.........................................

.........................................

.........................................

Pen dan Buku Nota- (Sumber google image)




Pen dan buku nota. Penting untuk ambil nota apa-apa yang patut.


Sekian. Salam.

p/s: mood bersahaja. saja-saja.



Sunday 2 September 2012

Cahaya di Hujung Lorong

Berjalan dan terus berjalan.

Di hadapan ada 3 lorong, 3 pilihan.

1 lorong bawa ke atas, 1 lorong bawa ke tengah-tengah, 1 lorong bawa ke bawah.

Ku pilih atas, perlu mendaki, semangat tak kuat, tak cukup bekalan, tidak bijak merancang, boleh jadi penat dan putus harap.

Ku pilih tengah-tengah, tak pasti apa dihadapan, barangkali tiada apa yang membanggakan, bahkan mungkin membosankan.

Ku pilih bawah, hanya menurun tangga, selalu ada eskelator, hanya letak kaki saja, nak duduk bersila pun tak apa.

Dan entah bagaimana aku tertawan untuk memilih lorong yang ketiga. Ke bawah. Mudah, tak perlu banyak cerita, bak kata orang, "kacang sahaja"

Masuk memang selesa, namun lorong itu gelap gelita, semakin dalam semacam semakin buta, hendak berpatah balik, jalan masuk sudah tertimbus dan tertutup dan tak terlihat dengan mata.

Lalu ku teruskan langkahan, ku teruskan perjalanan dan juga pemikiran ke hadapan.

Makin lama, makin lelah, kurang berdaya, tapi perlu digagahi jua, kerana ini lorong pilihan.

Usaha diteruskan, 1001 cara cuba dilaksanakan, ada bunyi bising?binatang buas? arghhh, aku pedulikan.

Jauh di benak hati dan penaakulan, masihku nanti apakah masih adanya cahaya di hujung lorong kelam.

Seperti ini.

Aku sedang menunggu. 

Cahaya di hujung lorong itu.

Aku pasti, percaya, yakin ada.